BATU GAJAH – Jabatan Pendidikan Negeri telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan haiwan perosak selepas menerima laporan berhubung penemuan tempat pembiakan tikus di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) (T) Kampung Columbia, Ayer Tawar, Manjung.

Pengarahnya, Datuk Mat Lazim Idris berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengambil langkah awal demi kesejahteraan kira-kira 60 murid dan sepuluh guru di sekolah itu.

“Hasil laporan media, kita terus menghubungi pihak jabatan kesihatan membuat pemeriksaan dan kawalan sewajarnya dibawah saranan jabatan terbabit untuk menghapus kawasan pembiakan tikus-tikus ini.

“Kita sememangnya bimbang akan isu kesihatan murid-murid dan kita mengambil saranan jabatan terlibat untuk membersihkan kawasan sekolah dan menutup 10 lubang tikus yang ditemui,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian selepas merasmikan penutupan Pertandingan Memasak Chef Remaja Sekolah-Sekolah Menengah – Maggi 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, semalam.

Pada Majlis itu, SMK Hulu Kinta dinobatkan juara dengan membawa pulang RM500 bersama sijil, medal dan hamper produk Maggi sekaligus mewakili negeri ke Peringkat Kebangsaan pada Oktober ini.

Hadir sama, Pengurus Penajaan dan Persampelan Nestle Wilayah Utara, Mohd Ismail Osman dan Chef Eksekutif Korporat Nestle, Chef Abdul Muluk Rambly.

Mat Lazim berkata, pihaknya terus menjalankan pemantauan di sekeliling sekolah berkenaan yang terletak di ladang kelapa sawit.

“Pembersihan seperti meletakkan perangkap tikus dilakukan selain pemantauan berterusan. Kesemua ini membabitkan semua pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah.

“Bagaimanapun, rekod kehadiran murid masih baik di sekolah itu dan tiada rekod membabitkan kesihatan diterima setakat ini,” katanya.

Ditanya mengenai saranan untuk memindahkan sekolah terbabit, Mat Lazim menyerahkan kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.

“Perkara itu kita serahkan kepada peringkat kementerian untuk membuat keputusan membabitkan isu ini,” katanya.

Khamis lalu, Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan mendedahkan penemuan sekolah yang menjadi tempat pembiakan tikus yang dibimbangi terdedah akan risiko penyakit kencing tikus.

Beliau turut mencadangkan kepada pihak kementerian untuk segera memindahkan ke tempat yang lebih sesuai selepas menemui kesan gigitan, najis dan bau air kencing tikus sekitar sekolah – sinar