IPOH- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak (JBPM) akan membuat pemantauan berkala di kawasan tumpuan pengunjung sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung yang datang bersama keluarga ialah di kawasan riadah seperti pantai dan air terjun.

“Kita memberi perhatian bermakna rondaan akan dibuat oleh JBPM Perak di tempat berkenaan, kalau di kawasan Lumut contohnya di Pantai Teluk Batik dan kalau air terjun pula di Pantai Remis.

“Kawasan ini selalu menjadi tumpuan dan kelekaan mereka dalam menjaga anak-anak semasa mandi manda juga boleh mencetuskan sesuatu yang tidak diingini.

“Perhatian serius kepada anak mereka dan pastikan pakai pakaian yang sesuai untuk mandi, walaupun musim perayaan, anggota kami akan buat tinjauan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Pemeriksaan Premis-Premis Membeli Belah di sebuah pasaraya di Ipoh pada Khamis.

Kempen itu dilaksanakan bagi menjamin tahap keselamatan para pengunjung di pusat membeli belah dan pasaraya sempena musim perayaan.

Di samping memastikan laluan keluar tidak dihalang oleh objek supaya pergerakan keluar dengan mudah sekiranya berlaku kecemasan.

Terdahulu, beliau bersama-sama dengan anggota JBPM Perak meninjau jalan keluar kecemasan dan sistem pemasangan keselamatan kebakaran di pasaraya tersebut