IPOH: Pertubuhan Anak Perak (PAP) akan menganjurkan Ekspo Makanan Perak dan Himpunan Produk PAP di tempat letak kereta Terminal Amanjaya di sini pada 18 – 19 Mac ini.

Presidennya, Faizal Effendi Hasim @ Faizal Lentin berkata, antara makanan yang akan diperkenalkan ialah rendang tok, pekasam, gulai tempoyak, dodol, wajik, pelbagai kuih muih dan minuman.

Menurut, antara barangan lain yang turut dijual ialah barangan kulit, pakaian, produk kecantikan dan beberapa perkhidmatan lain.

“Para pengunjung boleh hadir beramai- ramai dan juga boleh makan di tapak ekspo,” katanya pada sidang media di Terminal Amanjaya pada Jumaat.

Faizal berkata, sepanjang dua hari program yang dianjurkan bersama Perak Transit dan Terminal Urus Amanjaya itu, pelbagai aktiviti santai turut diadakan, seperti pertandingan karaoke, mewarna, menghias kek dan tayangan wayang pacak oleh Finas.

“Kami memilih Terminal Amanjaya kerana ia merupakan lokasi yang penting menerima kemasukan pelancong dan pengunjung,” ujarnya.

Beliau berharap program yang dianjurkan itu sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017.

Dalam pada itu, Faizal menjelaskan bahawa PAP tidak terlibat sama sekali dengan program Karnival Anak Perak  kerana ada pihak beranggapan kedua-duanya adalah identiti yang sama.