KUALA LUMPUR: Polis sudah memanggil dua individu termasuk blogger Papagomo, bagi membantu siasatan berhubung insiden Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut di Kajang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata Papagomo atau nama sebenarnya, Muhammad Azri Wan Deris, dipanggil bagi membantu untuk melengkapkan siasatan kes.

Noor Azam berkata, seorang daripada mereka dilaporkan sudah memberi keterangan manakala Papagomo dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, petang ini.

“Selain maklumat daripada pengadu sendiri (Syed Saddiq) yang mendakwa dicederakan oleh Papagomo, kita turut memanggil individu lain berdasarkan siasatan dan maklumat saksi kejadian.

“Siasatan dijalankan berdasarkan petunjuk yang ada selain keterangan semua individu yang dipercayai terbabit bagi membolehkan kertas siasatan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk laporan pakar perubatan berdasarkan kecederaan dialami Syed Saddiq.

Siasatan oleh Polis Daerah Kajang dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas selepas anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang mendakwa dikasari dan dipukul dari

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh selepas mangsa mendakwa diserang sekumpulan penyokong parti politik.

Dalam laporannya semalam, Syed Saddiq antara lain mendakwa dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong yang memakai baju Barisan Nasional (BN) ketika berjalan ke tempat letak kenderaan pada jam 11.05 pagi selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketika berjalan bersama pembantu dan anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang mengiringinya, mereka mendakwa ditolak dari semua sudut oleh kumpulan berkenaan sebelum dibantu oleh beberapa pegawai polis dan sukarelawan Unit Amal PAS.

Pada masa sama, seorang lelaki dilaporkan berlari menuju ke arah Syed Saddiq sebelum menerjah dan mencekak leher Ahli Parlimen Muar itu.

Lelaki berkenaan kemudian ditolak ke belakang oleh pihak polis bagi meleraikan keadaan – berita harian