IPOH– Kejohanan Para Sukma ke-19 membuka tirainya di Stadium Indera Mulia, pada Jumaat yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Para Sukma yang berlangsung dari 21 hingga 28 November ini mempertandingkan 10 acara dengan sembilan lokasi terletak di dalam kawasan Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala satu lagi di Ipoh Parade.

Menurut Syed Saddiq, Para Sukma Perak 2018 ini akan menjadi medan terbaik buat semua atlet orang kelainan upaya (OKU) mempersembahkan prestasi terbaik bagi mengharumkan nama negeri masing – masing, sebelum mewakili negara pada masa akan datang.

“Temasya dwi tahunan ini telah memasuki edisi yang ke 19 dan kali pertama dianjurkan setelah dijenamakan semula yang mana sebelum ini dikenali sebagai Sukan Paralimpiad.

“Temasya ini penting dalam usaha kita melahirkan lebih ramai atlet Para yang berbakat dan berpotensi bagi membawa cabaran negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita harap atlet yang berjaya dilahirkan dalam temasya ini akan mampu mengambil alih kekosongan yang akan ditinggalkan oleh atlet senior negara satu hari kelak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Para Sukma ke-19 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Jumaat.

Yang turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, yang juga mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hadir sama, barisan Exco kerajaan negeri serta kontinjen yang mewakil negeri masing-masing, selain hadirin yang tidak melepaskan peluang memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.

Temasya Para Sukma 2018 melibatkan 2,046 atlet, pegawai, pengurus dan jurulatih daripada 15 kontinjen yang bertanding serta 10 sukan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, ping-pong, “powerlifting”, tenpin boling dan boling padang.