BINTULU: Seorang pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux parah selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Pantai ABF di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai insiden berkenaan bagi membantu mangsa.

Difahamkan, ketika kejadian, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu sedang dalam perjalanan ke pusat bandar dari arah Tanjung Batu di sini, sebelum hilang kawalan lalu merempuh pokok di bahu jalan.

“Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan itu remuk teruk, dengan mangsa tersepit di tempat duduknya.

“Kami terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan kecemasan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut – berita harian