BUKIT MERAH: Hujan yang berterusan selama lapan hari sejak 25 April lepas di sekitar Bukit Merah telah menaikkan paras air di empangan sekaligus membolehkan pelaksanaan catuan air ditunda.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, perubahan positif itu adalah hasil kejayaan proses pembenihan awan yang dilakukan setiap dua hari di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, sebelum ini pihaknya memberikan tempoh selama 23 hari bermula 25 April lepas untuk melaksanakan catuan air sekiranya paras air empangan jatuh ke paras 17 kaki.

“Laporan terkini menunjukkan bahawa paras air telah meningkat ke 20.8 kaki pada Khamis sekaligus memanjangkan tempoh pelaksanaan catuan ke 35 hari bermula pada 5 Mei.

“Sepanjang 10 hari lepas, hujan telah turun selama lapan hari dan walaupun taburan hujan tersebut dalam jumlah minima, namun ianya turun secara berterusan dan tetap memberi impak positif kepada paras di empangan Bukit Merah,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Tambahnya, perubahan cuaca dan peningkatan paras air itu amat diharapkan oleh pihak kerajaan negeri dalam memastikan bekalan air kepada penggunaan harian di kawasan sekitar dapat dijalankan dengan lancar.

Tinjauan Suara Perak di Bukit Merah pada Khamis mendapati hujan turun dengan lebat sekitar dua jam dan ianya diharapkan dapat membawa perubahan di kawasan kering tersebut.

Sebelum ini, pihak kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Lembaga Air Perak (LAP)  telah mengadakan satu mesyuarat dan bersetuju bahawa Perak tidak akan melaksanakan catuan air dalam tempoh masa terdekat.