PARIT: Parlimen Parit memohon peruntukan RM6 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk program memulihara dan memperkasa industri durian di daerah Perak Tengah.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, berkata peruntukan itu bagi mengembalikan semula kawasan Parit, Tanjung Belanja, Bota dan Belanja sebagai antara kawasan pengeluar utama `raja buah’ itu.

Katanya, ketika ini pengeluaran durian di kawasan berkenaan mengalami penurunan kerana kekurangan pokok akibat banjir besar yang melanda daerah Perak Tengah, kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata, sejak lima tahun lalu, dianggarkan kira-kira 1,000 pokok durian di daerah berkenaan musnah akibat banjir dengan paling banyak ketika banjir besar berkenaan.

“Justeru, peruntukan itu bagi menggalakkan pekebun dan pemilik dusun menanam hibrid baharu bermutu, rasa lebih enak dan mendapat permintaan tinggi seperti Musang King dan D24,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Kursus Usahawan Agropreneur Muda di Dewan Pertubuhan Peladang Parit di sini hari ini.

Seramai 32 peladang muda menyertai kursus berkenaan bertujuan melahirkan usahawan muda khususnya membabitkan pertanian.

Mohd Zaim berkata, peruntukan itu turut membabitkan projek penambahbaikan sistem saliran bagi mengelak kawasan dusun ditenggelami air setiap kali banjir.

Katanya, durian menjadi sumber kekayaan baharu kepada petani di luar bandar kerana memberikan pulangan tinggi sehingga mencecah RM5,000 sepokok setiap musim.

Mohd Zaim mencadangkan kawasan Parit dijadikan pusat penyelidikan durian dan penghasilan hiliran berasaskan durian.

“Kita berhasrat mewujudkan ladang atau dusun berkelompok durian bagi memaksimumkan pengeluaran pasaran dalam dan luar negara,” katanya.