PARIT: Kerajaan negeri berharap agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat mempertimbangkan kemasukan pengurusan jelapang sawah di Parlimen Parit dalam senarai Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ianya berikutan kawasan padi seluas 1,214 hektar di parlimen berkenaan yang dilihat agak ketinggalan dalam arus pembangunan selain masalah tanaman padi yang sering dihadapi oleh pesawah.

Menurut beliau, ia juga adalah sebagai usaha dan inisiatif terbaik untuk meningkatkan pendapatan golongan yang bergantung rezeki dalam industri tersebut.

“Ini menyebabkan produktiviti sawah di kawasan ini agak rendah iaitu hanya dapat menghasilkan 2.6 tan metrik bagi 0.4 hektar sawah padi dan agak ketinggalan daripada sasaran, sedangkan di peringkat nasional ianya mencecah tujuh tan metrik,” katanya dalam sidang media selepas menyertai program Sukan Bendang, di Kampung Senin yang diadakan sempena program Permukiman Menteri Besar Perak Tengah pada petang Selasa.

Tambah beliau, secara logiknya kawasan jelapang padi tidak terkeluar dari IADA dan wajar dimasukkan ke dalam pelan tersebut berikutan jarak yang tidak begitu jauh dari Seberang Perak.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada kementerian dan berharap agar perkara tersebut dapat diberi perhatian secepat mungkin bagi meringankan beban golongan pesawah.

“Saya yakin, kalau ianya dapat dipenuhi tentunya masalah-masalah pesawah di kawasan ini akan dapat diatasi,” ujarnya.

Turut hadir pada progran itu Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.