KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi perhatian terhadap cadangan yang dibuat mengenai keperluan kenaikan kadar bantuan kepada keluarga miskin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata berdasarkan keperluan semasa keluarga miskin, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengadakan kajian keberkesanan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, objektif kajian pada 2016 itu termasuk mendapatkan maklum balas responden dalam kalangan penerima bantuan berkaitan keperluan kenaikan kadar.

“Cadangan itu akan diambil perhatian oleh kementerian,” katanya ketika menggulung perbahasan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Azizah berkata, kementeriannya juga sudah merangka satu pelan tindakan pemerkasaan ibu tunggal yang menyeluruh membabitkan aspek ekonomi dan sosial.

“Tindakan itu mengambil kira pandangan dan maklum balas semua pihak berkepentingan melalui beberapa siri sesi perundingan dan bengkel yang membabitkan ibu tunggal, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi dan sektor swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah berkata, kementerian sentiasa berusaha bagi memastikan wanita diberi peluang menerajui kepimpinan sama ada di sektor korporat mahupun awam.

“Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga Jun 2017, sebanyak 16.9 peratus iaitu 4,173 orang daripada keseluruhan ahli lembaga pengarah yang berjumlah 24,684 orang di syarikat awam adalah wanita.

“Bagi sektor awam berdasarkan rekod daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), peratus wanita dalam pengurusan tertinggi telah meningkat daripada 18.8 peratus pada 2004 kepada 35.1 peratus pada 2015 dan terkini kepada 35.8 peratus.

“Peningkatan ini diharap dapat terus dipertingkatkan pada tahun akan datang dan lebih ramai wanita dapat dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya.

Azizah berkata, masih terdapat keperluan untuk meningkatkan penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan dalam bidang lain seperti politik, pendidikan dan undang-undang.

Malah katanya, kementerian menyokong penuh cadangan Perdana Menteri untuk meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai Senator dalam Dewan Negara sejajar dengan matlamat Dasar Wanita Negara.

“Bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang politik khususnya dari aspek kepimpinan di peringkat akar umbi, kementerian mengambil inisiatif melalui pelaksanaan program kepimpinan wanita di setiap negeri yang membabitkan peserta wanita mewakili kawasan Parlimen masing-masing.

“Program berbentuk seminar dan forum ini bertujuan melatih wanita untuk menjadi pemimpin berintegriti, berpengetahuan luas mengenai hal ehwal politik semasa dan memberikan motivasi kepada wanita untuk menceburi politik,” katanya – berita harian