PARIT BUNTAR – Harapan Parlimen Parit Buntar mendesak kerajaan negeri Perak memansuhkan pengenaan caj lesen pelbagai sebanyak RM2,000 kepada setiap calon pilihan raya sebagai sebahagian daripada tuntutan deposit bahan kempen sepanjang PRU berlangsung.

Calon Harapan Dun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari berkata, pengenaan caj baharu dikuatkuasakan kerajaan negeri melalui undang-undang pihak berkuasa setempat (PBT) sebanyak RM2,000 itu amat mengejutkan dan membebankan calon-calon PRU kurang berkemampuan.

Menurutnya, pihaknya difahamkan perlaksanaan undang-undang baharu PBT itu berkuat kuasa Mei tahun lalu dan susulan itu, setiap calon bertanding wajib membayar wang keseluruhan deposit sepanjang kempen PRU kepada PBT sebanyak RM6,000 bagi setiap kerusi Dun dan RM7,000 bagi kerusi Parlimen.

“Kami hanya menyedari caj terbaharu itu sewaktu membayar deposit pengurusan calon PRU kepada Majlis Daerah Kerian (MDK) semalam.

“Agak mengejutkan saya diminta membayar wang deposit termasuk caj pelbagai berjumlah RM6,000, manakala Datuk Mujahid (calon Parlimen Parit Buntar) dikenakan caj RM7,000.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM2,000 dianggap ‘hangus’ kerana ianya dianggap bayaran perkhidmatan kepada MDK sepanjang menggunakan kemudahan PBT pada PRU14 dan nilai itu sebenarnya tidak masuk akal,” katanya kepada media sewaktu ditemui pada majlis penamaan calon PRU14 bagi kerusi Parlimen Parit Buntar, Dun Kuala Kurau dan Dun Titi Serong hari ini.

Turut hadir calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan calon Harapan Dun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Muniam.

Abdul Yunus berkata, pada PRU terdahulu, caj pelbagai dikenakan MDK terhadap setiap calon PRU adalah sekitar RM100 hingga RM200 sahaja.

Menurutnya, dengan caj tinggi sehingga RM2,000, kerajaan negeri Perak kini dianggap sebagai negeri termahal mengenakan caj deposit PBT terhadap calon-calon PRU bertanding.

“Kami turut mempersoalkan mengapa PBT seperti MDK mengenakan caj deposit bahan kempen yang lebih tinggi berbanding deposit dikenakan SPR?

“Bayangkan di Kerian ada sejumlah 21 calon, dengan mudah sahaja MDK mengutip caj lesen pelbagai itu lebih RM40,000 pada PRU14.

“Kami mendesak caj lesen pelbagai dikenakan PBT berjumlah RM2,000 bukan sahaja dimansuhkan, malah dipulangkan semula kepada kesemua calon PRU kerana kami sudah membayar RM4,000 sebagai deposit bahan kempen,” katanya.

Sementara itu, Mujahid ketika ditemui turut mendesak PBT tidak menganggu urusan kempen setiap calon-calon bertanding dengan pelbagai arahan dan larangan tidak masuk akal.

“Dengan bayaran mahal yang dikenakan, PBT diminta tidak menganggu urusan calon-calon bertanding dengan memberikan kesukaran kepada mereka,” katanya – sinar