IPOH: Tindakan Parti Amanah Negara (PAN) Perak yang berterusan menabur fitnah berhubung Anugerah “The Brandlaureate” disifatkan sebagai taktik murahan yang diamalkan oleh kumpulan “serangga perosak”.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kumpulan itu pernah merosakkan sebuah parti dan kini cuba melakukan kerosakan di tempat lain melalui isu anugerah berkenaan.

“Saya melihat mereka ini terlalu terdesak dan sangat menjengkelkan kerana mereka datang dari kumpulan politikus yang pernah merosakkan satu parti dari dalam satu ketika dulu.

“Mereka ini ibarat serangga perosak atau anai-anai yang merobohkan bangunan dan kini apabila sudah keluar, cuba pula melakukan kerosakan di tempat lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Malah, tambah Dr Zambry, bahasa yang digunakan oleh ketua mereka (Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi) turut mencerminkan peribadi sebenar pemimpin-pemimpin “serangga perosak” tersebut.

“Beliau (Asmuni) dalam satu sidang medianya sebelum ini mengucapkan kata-kata bahawa jawapan saya macam orang mabuk todi. Adakah ini bahasa yang digunakan seorang pemimpin parti yang kononnya akan membawa perubahan?

“(Mereka ini) Sering bercakap mengenai Islam tetapi perkataan yang digunakan amat biadab dan kasar. Nampak sangat betapa terdesaknya mereka ini untuk membunuh karakter saya sehinggakan sanggup melakukan dan mengeluarkan kata-kata begini,” ujar beliau.

Justeru, Dr Zambry berharap, rakyat dapat menilai tindak tanduk kumpulan berkenaan yang sengaja mewujudkan fitnah untuk menidakkan pencapaian cemerlang kerajaan negeri mentadbir Perak selama ini.

“Saya harap rakyat buat penilaian kepada keperibadian sebenar yang ditunjukkan oleh mereka ini, sebelum ini mereka lakukan perkara sama dalam PAS, sekarang mereka cuba buat semula di tempat lain.

“Mereka menggambarkan seolah-olah saya gila hendak pengiktirafan, saya tak perlukan ini semua sebenarnya namun ia adalah pengiktirafan tulen yang diberikan kepada kita dan kerajaan negeri,” katanya.

Baru-baru ini, Asmuni melalui satu sidang medianya telah mendakwa pemberian anugerah The BrandLaureate Nation Building Brand ICON Leadership Award-Game Changer Icon yang diberikan kepada Dr. Zambry pada Ogos lalu, dibayar oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

Namun dalam satu kenyataan balas susulan sidang media berkenaan, The BrandLaureate Sdn Bhd (BrandLaureate) menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah dan suatu bentuk penghinaan.

Brandlaureate turut meminta Asmuni memohon maaf kepada organisasi berkenaan.