IPOH – Mesyuarat Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang diadakan Isnin malam berikrar untuk memberi komitmen sepenuhnya bagi membantu mempastikan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bulan depan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mesyuarat yang berakhir hampir lewat malam itu dihadiri hampir semua pengerusi parti komponen dan rakan BN di negeri ini.

Menurut beliau, mesyuarat pertama yang diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRK Kuala Kangsar itu telah membincangkan mengenai persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

“Semua ahli-ahli komponen BN negeri Perak bersatu hati untuk bersama-sama bekerja bagi mempastikan BN akan mengekalkan kerusinya di Parlimen Kuala Kangsar, insya Allah” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Dr Zambry berkata, semua yang hadir juga memberi komitmen yang tidak berbelah bagi untuk bekerja dengan sedaya upaya bagi mempastikan ahli-ahli parti masing-masing keluar dan mengundi calon BN.

“Kalau nak ikut dari segi bilangannya kesemua yang ada, kita mempunyai kekuatan yang baik bagi membuat persiapan-persiapan dan juga untuk mempastikan jumlah pengundi yang keluar dalam pilihan raya yang akan datang,” ujarnya.

Beliau menambah, semua parti komponen juga berikrar untuk tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh merugikan parti dan juga peluang BN.

“Selain daripada itu juga, kita telah berikrar untuk membina satu team yang kuat. Ini bermakna tidak timbul soal kawasan-kawasan yang akan dijaga nanti hanya berasaskan kepada satu parti tetapi kawasan-kawasan itu akan dijaga atas nama semangat Barisan Nasional,” kata beliau.

Dr Zambry berkata, tidak akan timbul soal pengkhianatan atau sabotaj parti kerana beliau sendiri telah menekankannya beberapa kali.

“Sekiranya ada, kesemua daripada kami setuju bahawa tindakan tegas akan diambil pada mana-mana pihak sekalipun yang berada dalam komponen Barisan Nasional yang cuba mensabotaj calon dan juga peluang Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

“Saya begitu gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh kesemua komponen Barisan Nasional kita pada malam ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon yakin bahawa pengundi Cina di Kuala Kangsar akan memberi sokongan kepada calon BN untuk meraih kemenangan yang lebih besar.

“Kita akan usaha, kita tunggulah hari pengundian dan keputusan diumumkan nanti,” ujarnya.