TAIPING – Seorang pelajar tingkatan lima antara yang ditahan selepas dikesan terlibat dalam satu parti liar di sebuah inap desa di Jalan Regat Muzaffar Shah, Assam Kumbang, pagi semalam.

Remaja perempuan itu ditahan bersama 13 wanita tempatan lain dan 32 lelaki masing-masing berusia 17 hingga 24 tahun dalam satu serbuan sekitar jam 8.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, pemeriksaan dalam premis itu turut menemui dua paket plastik mengandungi daun kering dipercayai ganja, satu paket plastik ketulan kristal disyaki dadah, dua paket plastik serbuk putih disyaki ketamin dan lain-lain jenis dadah.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati, 34 daripada yang ditahan positif dadah.

“Polis turut merampas peralatan muzik selepas pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah menjalankan pusat hiburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki warga India ditahan selepas mengaku sebagai penganjur dan penyewa premis berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut kini dilakukan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Perak 1997,” katanya – sinar