BAGAN DATUK – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta kesemua parti politik untuk mengawal ahli masing-masing bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik dan aman tanpa sebarang kekecohan tidak diingini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua pihak perlu memastikan tiada insiden tidak diingin berlaku dan perlu menunjukkan tata tertib yang baik sepanjang proses terbabit.

“Kita harap seluruh negara tiada insiden, ini adalah proses demokrasi walaupun kita berbeza pendapat imej kita di luar negara sedang diperhatikan.

“Kita harap semua parti politik hantar calon di penamaan calon esok perlu menjaga parti masing-masing dan jaga negara,” katanya pada sidang media selepas melakukan program ziarah di beberapa buah rumah di sini pada Jumaat.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, amaran itu turut melibatkan calon-calon bebas serta penyokong masing-masing.

“Mungkin terdapat ramai calon bebas, maklum balas yang saya terima ramai beli borang-borang calon di peringkat Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri (DUN), saya alu-alukan penyertaan mereka.

“Tapi saya harap penyokong mereka ramai atau tidak atau jadi calon bebas kerana tak puas hati tak jadi calon sama ada di parti pembangkang atau Barisan Nasional (BN) kita harus gunakan pendekatan utamakan ketertiban,” ujarnya.

Kata beliau lagi, arahan juga telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara dan Ketua-Ketua Polis di peringkat negeri supaya mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba membuat kekecohan tanpa mengira parti.

“Saya minta mereka supaya menjaga keamanan dan ketenteraman dan tidak berpihak (kepada sesiapa) jika terdapat kekecohan berlaku di kalangan penyokong-penyokong ketika proses penamaan calon dilakukan,” katanya.

BERITA BERKENAAN : Calon BN Muktamad, Tiada Perubahan Akan Dibuat – Ahmad Zahid