IPOH : Semua parti politik di Perak diingatkan agar tidak mencetuskan sebarang provokasi sehingga mengganggu ketenteraman awam susulan kemelut politik semasa negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan keselamatan awam dan keamanan di negeri ini.

“Polis berada dalam keadaan bersedia pada setiap masa malah kita telah mengadakan pelbagai latihan termasuk latihan dalam perkhidmatan sebelum ini.

“Jangan ada provokasi kerana akan membuatkan masyarakat khuatir tentang keselamatan negara terutama di Perak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Perak daripada Ketua Cawangan Khas Perak Datuk Mazlan Santarai yang memangku jawatan itu kepada Datuk Goh Boon Keng.

Sementara itu, Goh, 60, yang sebelum ini bertugas sebagai ACP Perhubungan Antarabangsa, Urusetia Ketua Polis Negara, Bukit Aman sejak 2012 berkata selain berusaha membantu mencapai misi Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau akan menumpukan kebajikan anggota dan pegawai polis di Perak termasuk bangunan kuarters yang daif dan lif yang tidak berfungsi.

“Kita akan melakukan kajian dan berusaha mendapatkan peruntukan bagi tujuan berkenaan,” katanya yang telah berkhidmat dalam PDRM selama 33 tahun.- BERNAMA