IPOH – PAS mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di 21 daripada 24 kerusi Parlimen yang ada di negeri Perak kecuali Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah.

Kawasan parlimen PAS tidak bertanding adalah Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Batu Gajah.

Parti itu turut akan bertanding di 58 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi kecuali DUN Jalong.

Namun pada majlis pengumuman calon di markas PAS di Taiping malam tadi, Pesuruhjayanya,Razman Zakaria bagaimanapun hanya mengumumkan senarai 19 calon bertanding bagi kawasan parlimen manakala 43 calon bagi kerusi DUN.

Menurut Razman, dua lagi calonnya iaitu bagi di Parlimen Beruas dan Taiping akan diumumkan kelak.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bila 15 lagi calon PAS bagi kerusi DUN akan diumumkan.

Mengulas mengenai senarai calon, beliau berkata pemilihan calon PRU14 ini melibatkan banyak muka baru termasuk tiga calon bukan Islam di Parlimen Kampar, DUN Pasir Bedamar dan DUN Sungkai.

“Latar belakang calon pula, ada di antara mereka terdiri dari doktor, jurutera, peguam dan aktivis termasuk lima orang calon wanita.

“Calon bukan Islam ialah M.Yougan (Kampar),S.Kumaresan (Pasir Bedamar) dan J.Applasamy (Sungkai) dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), dalam pada itu lingkungan umur yang bertanding pula dari 29 hingga 64 tahun.

Calon wanita seperti Dr. Najihatussalehah Ahmad (Parit),Rohaya Bakar (Bagan Serai) dan Rohawati Abidin (Pasir Panjang),” kata Razman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pengumuman Calon PRU14 Pas Negeri Perak di Markas Tarbiyyah Air Kuning, malam Khamis.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin yang akan bertanding bagi DUN Selama berkata, pihaknya sudah bersiap siaga untuk berhadapan dengan segala kemungkinan pada PRU14.

“Cabaran PRU kali ini sangat sengit,sebab saya pun pernah bertanding dahulu dan situasinya berbeza kerana kita menghadapi tentangan sengit dari Barisan Nasional (BN).

“Kalau ada dua, tiga atau empat penjuru pun tak sengit sangat sebab hanya melibatkan BN dan Bebas, kali ini pula cabarannya tiga penjuru di mana kedua-dua penentang dari Pakatan Harapan dan BN,” kata Mohd Akmal.

Ketua Pemuda DHPP Perak, M.Yougan yang mewakili DUN Kampar juga menyatakan kesediaannya untuk berkhidmat kepada masyarakat sekiranya diberi kepercayaan.

“Walaupun ini kali pertama saya bertanding, saya akan tempuhi cabaran ini untuk memberi dan membantu masyarakat di Kampar khususnya dan Perak amnya,” katanya –

BERITA BERKENAAN : Manifesto Bagan Datuk

1/2