ALOR SETAR : Pas negeri menghormati kedudukan terkini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negeri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjayanya, Ahmad Yahaya berkata, biarpun kerajaan PH Kedah dilihat tidak stabil dan goyah, namun majoriti mudah masih berpihak kepada gabungan itu dengan kelebihan dua kerusi berbanding Pas dan UMNO.

Walau bagaimanapun, menurutnya, Pas negeri akan akur terhadap apa sahaja arahan pusat biarpun perbincangan ke arah itu tidak pernah diadakan oleh mana-mana pihak setakat ini, selain membentuk pembangkang yang kuat di negeri ini.

“Kita memberi peluang kepada PH mentadbir Kedah sehingga DUN dibubarkan termasuk sekiranya diadakan pilihan raya pada bila-bila masa.

“Tetapi, kita percaya peluang untuk Pas dan UMNO misalnya merampas kembali pemerintahan di Kedah adalah amat cerah apatah lagi setelah kita memeterai Piagam Muafakat Nasional baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas memperoleh 15 kerusi DUN disusuli Barisan Nasional tiga kerusi, manakala PH yang bertanding di bawah tiket PKR mendapat 17 kerusi.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar UMNO pada 12 November tahun lalu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, peluang untuk mengadakan kerajaan campuran antara Pas dan UMNO di Perlis dan Pahang lebih terbuka termasuk di Perak yang menyaksikan kelebihan kecil kepada kedua-dua parti itu.

“Apa sahaja tindakan dan arahan bergantung kepada Pas Pusat, manakala kami di peringkat negeri hanya sebagai pelaksana, kita tunggu dahulu apa bentuk tindakan yang akan diambil oleh kepemimpinan untuk kerajaan Perlis dan Pahang,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah Pas bersedia untuk membentuk kerajaan campuran di Kedah sekiranya berpeluang, Ahmad tetap menegaskan mereka perlu akur terhadap sebarang keputusan di peringkat Pusat.

-UtusanOnline