Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah hari ini menyeru PAS tidak bimbang dengan situasi Umno ketika ini yang menyaksikan sekumpulan anggota dan wakil rakyatnya meninggalkan parti.

Jelas Shamsul, keadaan itu lebih kurang sama ketika anggota dan wakil rakyat PAS keluar parti dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Biarpun Amanah wujud namun PAS tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat Umno meninggalkan Umno kita tetap yakin Umno tetap sebagaimana biasa.

“Umno akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat, dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang,” katanya dalam kenyatan media hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS sukar untuk bergabung dengan Umno kerana parti itu ibarat bahtera yang telah bocor.

“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.

“Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah,” kata Abdul Hadi.

Sejak pilihan raya umum, Umno kehilangan satu demi satu wakil rakyatnya yang seterusnya menyebabkan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugasnya kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

Sejak memenangi 54 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, Umno sudah kehilangan 18 wakil rakyat dan kini hanya memegang 36 kerusi parlimen. Beberapa wakil rakyat Umno yang keluar parti juga menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bersatu tak boleh ganti Umno

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Shamsul menegaskan bahawa meskipun Bersatu mendakwa ia parti Melayu, Umno masih pilihan utama orang Melayu.

Tegas Shamsul, Bersatu tidak akan boleh menggantikan Umno.

“Hakikatnya Umno jauh lebih baik berbanding Bersatu. Umno punyai sistem pentadbiran yang bersistematik.

“Umno mempunyai pimpinan yang tersusun daripada peringkat Umno Cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke pusat.

“Jauh berbeza dimana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian Bersatu diadakan hanya diadakan di peringkat pusat sahaja. Ini bukti Umno mempunyai kekuatan lebih baik berbanding Bersatu,” katanya.

Tambah anggota parlimen Lenggong itu, kehilangan wakil rakyat berkenaan tidak menyebabkan Umno di kawasan mereka terbubar. Sebaliknya, katanya, mereka “dengan mudah” diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.

“Kita perlu ingat, mereka yang keluar Umno tentulah antaranya kerana mereka sudah hilang keyakinan dan kesetiaan pada Umno.

“Jadi, biarlah yang tidak yakin atau setia ini tinggalkan Umno. Jika mereka terus berada dalam parti ia akan menjadi barah yang akhirnya memusnahkan parti dari dalam,” katanya menyeru agar anggota Umno yang masih kekal tidak bimbang dengan perubahan dan pendekatan baru parti mereka.

“Umno mahu menang dan kembali berkuasa sebagai sebuah kerajaan. Oleh itu semua pihak perlu fokus, bersama menyokong kepimpinan parti dan bersama memainkan peranan,” katanya – Malaysia kini