SUNGKAI: PAS mahu menjalinkan kerjasama yang lebih mantap dengan UMNO walaupun pernah gagal beberapa kali sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama kedua-dua parti itu adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Menurut beliau, walaupun ada pihak yang kurang senang dan bimbang dengan kerjasama itu, terpulang kepada mereka untuk membuat penilaian sendiri.

“Harapan kami kerjasama yang lebih baik lebih mantap melihat kepada cabaran-cabaran yang lebih pada masa lalu.

“Kerjasama kita secara berperingkat-peringkat, kita mulakan dengan kerjasama melalui pilihan raya kecil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Perak Kali Ke-36 di Felda Residence Hot Spring, Sungkai, pada Ahad.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin.

Abdul Hadi berkata, terpulang pada pihak lain untuk mengkaji sendiri dengan matang dengan bijak mengenai hubungan PAS-UMNO itu.

Apa yang penting, katanya kedua-dua pihak bersedia untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan yang lebih erat.

PAS pernah bekerjasama dengan UMNO dalam beberapa isu yang melibatkan Islam, pernah menyertai kerajaan di dalam Perikatan pada 1973 sebelum ditubuhkan Barisan Nasional pada 1974.

Bagaimanapun mereka berpecah pada tahun 1979.