IPOH: PAS Perak menyifatkan Bajet Negeri Perak 2018 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam sebagai bajet yang mesra rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya III Perak, Radzi Zainon berkata, ini kerana bajet berjumlah RM1.17 bilion tersebut secara keseluruhannya memberi pelbagai manfaat secara terus kepada rakyat.

“Sesuatu perkara itu mungkin kerajaan pusat telah pun memberi peruntukan tersendiri namun kerajaan negeri telah menyahut cabaran dan menambah lagi di mana-mana yang tidak cukup.

“Sebagai contoh, peruntukan tambahan yang melibatkan bilal, imam dan sebagainya, ia memang mesra rakyat dan mesra Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya pada sidang media Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri ke-13 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat turut memuji inisiatif kerajaan negeri yang memperkenalkan Kedai Bergerak Amanjaya (KBAJ).

“Ini juga satu pendekatan yang amat baik kerana ia membawa barangan itu secara terus kepada rakyat daripada mengharapkan rakyat yang datang mencari barang-barang keperluan ini,” ujar beliau.

Semalam, Dr Zambry telah membentangkan Bajet Perak 2018 berjumlah RM1.17 bilion dengan lima fokus utama bagi memastikan pembangunan dan pengupayaan ekonomi rakyat terus dilaksanakan.

Daripada keseluruhan bajet bertemakan “Rakyat Aman dan Jaya” itu, sebanyak RM755.59 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM421.28 juta bagi perbelanjaan pembangunan.