KUALA KANGSAR: PAS akan tetap meletakkan calon parti bagi kerusi Parlimen meskipun terpaksa berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya bersedia menghadapi situasi tersebut walaupun rakyat akan mengalami sedikit kekecewaan sekiranya terdapat calon lain daripada blok pembangkang yang akan bertanding.

Menurut beliau, Parlimen Kuala Kangsar merupakan kerusi tradisi bagi parti tersebut justeru kemenangan dalam PRK kali ini adalah amat penting buat calon mereka, iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad.

“PAS dah isytihar daripada awal lagi kerusi ini kerusi tradisi mendahului parti-parti lain, jadi saya fikir perkara tersebut sudah jelas, jadi tidak ada perbincangan lagi untuk meletakkan calon lain daripada blok pembangkang.

“Tapi sekiranya terdapat calon lain, maka kita akan terus lawan dan terus bertanding kerana yang paling penting adalah blok pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS bagi PRK Kuala Kangsar di padang berhampiran dengan Markas PAS Kuala Kangsar pada malam Jumaat.

Tuan Ibrahim berkata, rakyat di Kuala Kangsar buat masa ini berasa amat tertekan, justeru adalah amat penting buat mereka untuk menghantar isyarat jelas kepada kerajaan dengan menyokong calon PAS agar perubahan dapat dilaksanakan segera.

Tambahnya, sekiranya rakyat masih memilih calon BN, maka ia menunjukkan seolah-olah rakyat tidak kisah dan menghantar isyarat salah kepada isu-isu yang bermain di pihak kerajaan buat masa ini.

Menyentuh mengenai kriteria Dr Najihatussalehah, beliau berkata, PAS Pusat sebulat suara memilih beliau atas peribadinya dan kredibilitinya yang sering mendekati rakyat sebagai seorang doktor perubatan.

Katanya, Dr Najihatussalehah yang sebelum ini tewas dalam PRU-13 dalam kerusi ADUN Belanja merupakan calon pilihan yang biasa dengan kehidupan masyarakat setempat dan PAS menyerahkan amanah kepada beliau untuk mewakili PAS dalam PRK kali ini.

“Tradisi di Kuala Kangsar ini sebelum ini Tan Sri Rafidah Aziz juga lama menjadi wakil rakyat di sini, beliau mempunyai kemampuan dan mendekati rakyat setempat, bukan jauh pun dari Belanja ke Kuala Kangsar ini, sempadan saja,” ujarnya.