SUNGKAI: PAS tiada masalah sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mendedahkan identiti sebenar pemimpin parti itu yang dikatakan menerima wang daripada UMNO.

Dalam masa yang sama, PAS juga mempunyai maklumat mengenai pemimpin yang menerima bantuan dari luar negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menunggu pendedahan yang akan dibuat oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

“Terpulang pada dia, nanti dia dedahkan dululah siapa pemimpin itu, barulah kita buat kenyataan.

“Kita pun ada kenyataan pemimpin lain ada menerima bantuan daripada luar negara dalam jumlah yang sangat besar, itu lagi haram.

“Kita (terima duit) tak ada bukti, kita bergerak sendiri barangkali kalau dihimpunkan derma-derma PAS setiap ceramah sepanjang tahun lebih daripada RM90 juta, kita boleh buat beribu Pasti seluruh negara hanya sumbangan kita sendiri,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Perak Kali Ke-36 di Felda Residence Hot Spring, Sungkai, pada Ahad.

Abdul Hadi berkata juga mahu kerajaan berani mendedahkan bantuan luar negara yang mereka perolehi yang dikatakan sangat banyak.

“Kita minta dia (beritahu) daripada mana dia dapat duit selama ini yang diwar-warkan dapat daripada luar negara.

“Dia kena berani, jangan kerajaan siasat kita saja, kerajaan perlu siasat diri dia sendiri baru lah adil,” ujarnya.

Anwar dalam sebuah forum di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu berkata, identiti pemimpin PAS yang bertanggungjawab menerima wang daripada UMNO, akan didedahkan sedikit masa lagi.