KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara rasminya mengesahkan parti itu tidak akan bertanding di kerusi yang sama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, langkah itu sejajar dengan perkembangan terbaru dengan termeterainya piagam UMNO dan Pas yang ditandatangani hari ini.

“Kita kena sedar politik bersifat fleksibel. Melihat kepada perkembangan dan perubahan (penyatuan Pas dan UMNO) ini, Pas tidak akan dalam satu kawasan (sama dengan UMNO).

“Kita akan bersama dalam PRU secara objektifnya apabila diumumkan nanti,” katanya pada sidang media Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari.

Katanya, fokus kerjasama Pas dan UMNO ketika ini juga adalah untuk meneruskan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini dengan berteraskan kepada kepimpinan Melayu dan Islam.

Sementara itu, ditanya kemungkinan kejayaan menandatangani piagam itu akan membawa kepada pembentukan satu parti antara Pas dan UMNO dalam menghadapi PRU15 nanti, kata Abdul Hadi ia masih terlalu awal.

“Masih terlalu awal (untuk bincang mengenai pembentukan satu parti dengan UMNO),” katanya.

Terdahulu, Enam hasrat utama Piagam Muafakat Nasional digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Piagam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya, antara perkara tersebut ialah berkaitan akidah, keimanan dan keikhlasan, agenda besar, jaminan permuafakatan, elakkan pergeseran, tonggak kepimpinan serta kekal selama-lamanya.

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan ini antara UMNO dan Pas berlandaskan kepada akidah, keimanan dan keikhlasan sebagai paksi bagi memperkukuhkan kebersamaan kita serta Ia bukan semata-mata agenda politik.