PONTIAN : Calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Badhrulhisham Abdul Aziz mendakwa PAS dan Umno tidak melibatkan partinya dalam perbincangan mengenai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Presiden Berjasa itu berkata disebabkan itu, beliau membuat keputusan untuk partinya bertanding selepas PAS dan Umno tidak menghiraukan gesaan untuk meletakkan calon Melayu.

“PAS dan Umno tak hiraukan dan tidak panggil kami bincang bersama Umno.

“Kita dah minta PAS bincang untuk benda itu tak berlaku. Tak adil kata tak restu. Sikap macam ini kena ubah. Kalau kita ego macam itu dengan parti lain kita takkan ke mana,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Semalam PAS berkata akan mengkaji kerjasama dengan Berjasa dari “semasa ke semasa”.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata demikian selepas beberapa hari parti sekutunya mengambil keputusan untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai.

Berjasa mencalonkan Badhrulhisham yang akan berebut undi dengan calon sekutu baru PAS iaitu Umno.

PAS yang mempunyai kerjasama rasmi dengan Umno turut menjalin kerjasama tidak rasmi dengan Berjasa menerusi Gagasan Sejahtera.

Badhrulhisham berkata Muafakat Nasional mesti melangkaui PAS dan Umno.

Beliau menyeru semua Melayu, Bersatu, NGO, PKR dan Amanah bersatu demi agenda Melayu Islam.

“Itu prasyarat sebelum kita sebut perpaduan harmoni negara.

“Kita seru PAS dan Umno patutnya lebih terbuka buka ruang perbincangan dengan parti Melayu daripada parti bukan Melayu,” katanya.