TELUK INTAN: “Dah ada ilmu nanti, saya nak jadi petani, itulah ayat ringkas yang diberikan oleh seorang anak muda berusia 16 tahun yang sebenarnya agak jarang didengari dari mulut remaja lain.

Mohd Fakhir Towhid, 16, yang merupakan pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan berkata, tidak dinafikan sebelum ini dia memasang angan-angan untuk menjadi seorang pekerja bidang professional tetapi pendedahan yang diterima telah mengubah fikirannya.

Pelajar dari kursus Agro Industri Ternakan Ruminan itu berkata, jika tidak kesampaian dia mahu meneruskan hasrat menjadi seorang pegawai veterinary, tidak lari dari bidang asas iaitu penternakan, pertanian dan perladangan.

“Saya telah melihat sendiri bagaimana ramai di antara petani dan pengusaha perladangan boleh mendapat keuntungan lumayan sekiranya mereka tidak berputus asa, malah kami di kolej turut mempelajari asas menggaul bahan makanan bagi ternakan dan sebagainya.

“Sampai ke hari ini, masih ada rakan yang mentertawakan cita-cita saya, nak menjadi seorang petani atau pegawai veterinar sahaja, tetapi saya sentiasa memohon doa ibu bapa untuk melancarkan impian saya, saya yakin ini impian dan minat saya, apa orang nak cakap, ikut suka mereka sahajalah.

“Kalau semua nak jadi cikgu, nak jadi peguam, nak jadi polis siapalah nak usahakan tanah di Malaysia ini, nak jaga ternakan nanti?,” katanya bersahaja kepada Suara Perak.

Dia ditemui bersama rakan-rakannya dalam Kursus Insitu Pengurusan Ternakan Lembu dan Penggunaan Jerami Padi Sebagai Sumber Makanan Tambahan Ternakan di Dewan Kg Sungai Batu, Sungai Manik pada pagi Jumaat, sempena Program Permukiman Menteri Besar.

Menurutnya, latihan amali yang dipelajari dalam menggaul gula Melaka, bahan organic E-microbes dan jerami padi merupakan pengetahuan baru yang dipelajarinya dalam program tersebut.

“Kami harap pengetahuan hari ini akan dibawa ke kolej kami dan seterusnya menjadi salah satu bahan kajian kerana kami dalam kursus ini mempelajari proses pencernaan ternakan dan sebagainya, dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Perak,” katanya penuh yakin.

Program yang berlangsung pada Jumaat dengan kerjasama FAMA dan Jabatan Veterinar Negeri Perak itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan Dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad dan menerima respons menggalakkan daripada penduduk setempat.