BAU, Sarawak: Kegiatan sepasang kekasih yang menjadi pengedar syabu sejak awal tahun ini sejak lima bulan lalu akhirnya menemui noktah selepas mereka ditahan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Taiton, di sini, Jumaat lalu.

Lelaki tempatan berusia 25 tahun dan wanita Indonesia berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau jam 11 pagi selepas risikan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui dadah seberat 34.3 gram yang dianggarkan bernilai RM10,200.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, suspek berada di bilik tidur terkedu dengan kehadiran polis.

Beliau berkata, tindakan suspek yang cuba menyembunyikan bahan terlarang yang dimilikinya dengan menyimpan syabu itu di dalam plastik gula-gula perisa madu dan limau gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut polis di bilik berkenaan menemui bungkusan gula-gula berisi syabu di atas tilam. Hasil pemeriksaan mendapati syabu berkenaan dibungkus dalam dua plastik lutsinar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabri berkata, suspek dipercayai menjadi pengedar kecil-kecilan dengan menjadikan penagih sekitar daerah ini sebagai pelanggan utama.

Katanya, polis menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu bagi mengesan suspek selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan mereka.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah manakala suspek wanita negatif. Kedua-dua suspek juga tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis giat mengesan individu lain yang mempunyai rangkaian pengedaran dadah dengan suspek – berita harian