SERIAN: Dua maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gedong, di sini, hari ini.

Kejadian jam 10.20 pagi itu menyebabkan mangsa Simon Pulin, 41 dan Jolia Asoi, 39, disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Serian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan jam 10.28 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki dua mangsa berkenaan masih terbakar sebelum pasukan penyelamat bergegas memadam kebakaran.

“Motosikal mangsa terbakar selepas bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Kedua-dua kenderaan itu kemudiannya terbabas di tepi parit.

“Kedua-dua mangsa yang masih belum diketahui hubungannya itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Serian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pegawai penyiasat yang dihantar ke lokasi kejadian – berita harian