Oleh: Shafiq Noordin

IPOH – Sepasang suami isteri bergelar ustaz dan ustazah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap 12 tuduhan memperdagangkan 12 kanak-kanak perempuan berusia 11 hingga 13 tahun, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Muslim Ab Karim, 66, dan Zaleha Mohamad, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran pada Isnin.

Muslim merupakan Pengerusi Pusat Latihan Amal Bestari yang berpusat di Yan, Kedah manakala Zaleha Mohamad merupakan Bendahari pusat tersebut.

Pasangan itu didakwa memperdagangkan 12 kanak-kanak perempuan itu untuk diekspolitasi di rumah beralamat No 133, Jalan Perajurit Timur 9, Taman Syabas Baru, Ipoh pada pukul 11.15 malam, 7 Oktober 2016 dan pada 1.45 petang, 8 Oktober 2016.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pasangan suami isteri itu akan didakwa di Kuantan dan Raub, Pahang serta di Kota Bharu, Kelantan bagi kesalahan yang sama.

Hakim Murtazadi tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas dan Nadia Zulkefli manakala tertuduh diwakili peguam, Shahril Adli Zain.

Pada Oktober tahun lalu, Suara Perak melaporkan dua suspek yang bergelar Ustaz dan Ustazah ditahan oleh pihak Polis kerana disyaki memperdagangkan 12 kanak-kanak perempuan dengan mengeksploitasi mereka sebagai peminta sedekah dan penjual ubat-ubatan herba serta kalendar.