IPOH: Pasar Ayam Amanjaya yang menempatkan sebanyak 62 gerai bagi kemudahan peniaga setempat kini memulakan operasi sepenuhnya bermula pada Khamis ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, pasar yang dinaiktaraf khusus bagi keselesaan pengunjung itu menelan kos keseluruhan sebanyak RM11.4 juta.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan persekutuan dalam siri pelaksanaan pembangunan semula pasar-pasar dalam kawasan Majlis Bandaraya Ipoh.

“Kita sentiasa mempunyai budaya inovatif dalam perlaksanaan merancang struktur perancangan bandar untuk mensejahterakan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang awam.

“Sebagai contoh, sebelum ini ada yang mempersoalkan tindakan KPKT membangunkan bangunan UTC yang menelan kos RM45 juta namun ternyata dengan pembukaan pasar ayam terbaru ini ianya akan cukup memudahkan rakyat,inilah cetusan Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) yang amat efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Pasar Ayam Amanjaya yang disiapkan sepenuhnya pada 31 Januari 2017 di perkarangan UTC Ipoh pada Khamis.

Jelasnya, selain dilengkapi dengan susunan 62 gerai untuk golongan peniaga ianya juga mengaplikasikan sistem parkir berbayar yang akan memudahkan kesulitan tempat letak kenderaan bagi pengunjung UTC dan pasar berkenaan.

“Selain itu, pasar berkenaan juga mempunyai unit penghubung untuk membolehkan pengunjung terus memasuki aras 1 bangunan UTC Ipoh dan ini sekaligus menjimatkan masa mereka,” ujar beliau.