TAIPING : Pasar Besar Taiping dan Menara Jam Lama di Jalan Kota di sini antara beberapa lokasi baharu yang dikenal pasti untuk disenaraikan sebagai tapak warisan di bandar ini tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Borhan Abdul Halim berkata berdasarkan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) terdapat empat lokasi yang telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, manakala 13 lagi disenarai lokasi Tapak Warisan di seluruh negara.

“Berdasarkan Rancangan Kawasan Khas Bandar Warisan Taiping yang diwartakan pada 22 Julai 2010 terdapat 34 bangunan/lokasi milik kerajaan dan 83 bangunan/lokasi milik swasta yang disenaraikan di bawah Senarai Kategori Satu.

‘’Adalah menjadi hasrat MPT untuk menzahirkan Pembangunan Bandar Mesra Usia dengan komponen warisan diketengahkan bersama,” katanya dalam kenyataan media pada majlis perasmian Mesyuarat Dialog Awam dan Perbincangan Kumpulan Berfokus Taiping Ke Arah Bandar Mesra Usia di sini hari ini.

Pada 30 Okt lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan Projek Rintis Taiping Bandar Mesra Usia dengan peruntukan dana sebanyak RM1.1 juta bagi pembangunan fasa pertama daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Borhan berkata pemilihan Bandar Taiping adalah kerana negeri Perak dijangka menjadi negeri ‘tertua’ di Malaysia pada tahun 2020 apabila jumlah warga emas mencapai 385,000 orang atau 14.9 peratus daripada jumlah penduduk yang diunjurkan seramai 2.6 juta. -BERNAMA