IPOH: Kampung Kacang Putih di Buntong menjadi tumpuan para penggemar kudapan itu, bukan sahaja kerana kualiti bahkan diakui lebih enak dan murah berbanding di tempat lain seluruh Malaysia.

Keunikan dan kepelbagaian kacang putih yang ditawarkan oleh kira-kira 12 buah kedai di sini turut mendapat permintaan di luar negara seperti Australia, Singapura, China dan Thailand.

Oleh demikian, tidak menghairankan bagaimana perkampungan yang terkenal di bandar raya Ipoh itu tercatat sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi dalam peta Ipoh.

Seiring dengan perkembangan teknologi di hujung jari, terdapat beberapa cadangan untuk mempromosikan produk makanan kacang putih menerusi kaedah digital dan laman sesawang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing, kerjasama di antara kerajaan negeri dan syarikat swasta itu bakal membekalkan maklumat melalui publisiti, video, foto dan pengisian produk untuk dipromosi ke peringkat antarabangsa.

“Saya sudah pun laksanakan usahasama antara kerajaan negeri dengan satu platform syarikat swasta (syarikat Lokalocal) mereka menawarkan penyelesaian dan membantu pengusaha dalam bidang pelancongan dari segi foto, video serta promosi.

“Kita tahu dunia semakin berubah, ini sebagai medium baru untuk pelancong sebelum datang ke tempat pelancongan, jika ada pengusaha kacang putih boleh bersama dengan syarikat ini dan berikan maklumat ke dalam laman web, mereka akan bantu secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan dan lawatan di tapak pembinaan Pintu Gerbang Kampung Kacang Putih, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan.

Dalam lawatan itu, Kar Hing dan Sivanesan turut meninjau beberapa buah kedai kacang putih di samping melihat sendiri proses menggoreng yang dijalankan oleh pengusaha kedai terbabit.

Sementara itu, kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan bagi membina pintu gerbang Kampung Kacang Putih Buntong, yang sudah dipohon oleh pihak persatuan sejak tahun 2012.

“Kita mahu mengangkat kacang putih sebagai salah satu ikon pelancongan, ia bukan setakat produk makanan tapi sudah mengharumkan nama negeri Perak, itu sebab kerajaan negeri hargai jasa persatuan yang ditubuhkan sehak tahun 1967.

“Pintu gerbang ini akan menjadi mercu tanda di lokasi ini, kita akan mulakan sebut harga oleh agensi pelaksana iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, ia dijangka siap dalam tempoh enam bulan,” ujar Kar Hing.