PARIT: Pasar tani perlu diperbanyakkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu mengembleng usaha agar rakyat khususnya di luar bandar menceburi bidang usahawan tani.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan FAMA untuk menambah bilangan pasar tani pada hari Sabtu dan telah diluluskan dengan menerima sambutan yang cukup baik.

Katanya, terdapat 35 pasar tani di seluruh Perak dan dua daripadanya di Perak Tengah iaitu Seri Iskandar dan Parit.

“Nilai jualan keseluruhan pasar tani di negeri Perak dari Januari hingga Julai 2017 adalah lebih RM17 juta.

“Menerusi platform pasar tani ini, mereka berpeluang melambakkan hasil pertanian di pasaran sekaligus menambah pendapatan dan ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pasar Tani Parit 2 di Dataran Parit, di sini, semalam.

Mohd. Nizar berkata, setakat ini terdapat peningkatan dari segi hasil kepada para peniaga dan usahawan dalam populasi yang agak tinggi.

“Contohnya, mereka mampu mengutip hasil jualan mencecah RM50,000 dalam sekali mereka berniaga di pasar tani.

“Tiap-tiap hari Sabtu, di pekan Parit ini, bermula dari petang sampai malam, para peniaga kita sangat berpuas hati dan hasil tani mereka kebanyakannya habis dijual,” katanya.