Oleh: Aida Aziz

SLIM RIVER: Produk keluaran pelatih-pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menepati standard dan memenuhi kehendak pengguna mempunyai potensi tinggi untuk dipasarkan di Kompleks Silveritage Galleria (KSG), Medan Gopeng di Ipoh.

Yang Di Pertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, sehubungan itu, pihak pentadbir dan pengurusan PDK di seluruh Perak disaran merebut peluang untuk memperkenal dan memasarkan produk-produk keluaran PDK masing-masing.

Beliau berkata, Baiduri akan sentiasa menyokong usaha untuk menaiktaraf produk PDK demi memastikan kelangsungan pengeluaran produk-produk yang selama ini mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Kita tidak mahu selama-lamanya memberi sumbangan kerana seboleh-bolehnya kita mahu PDK mempertingkatkan potensi masing-masing untuk menjana pendapatan sendiri.

“Bagi menyokong usaha itu, Baiduri berjaya mendapatkan satu lot untuk menjual produk barangan OKU di Kompleks Silvertage Galleria yang juga merupakan lokasi strategik bagi pelancong membeli barangan tempatan,” katanya.

Saripah berkata demikian ketika ditemui semasa program Ziarah Kasih Baiduri dan Majlis Perasmian PDK Sierra, Slim River pada Khamis.

Lawatan itu merupakan program yang dianjurkan bersempena Permukiman Menteri Besar di daerah Muallim. Program Ziarah Kasih Baiduri juga melibatkan lawatan badan itu ke tiga buah PDK iaitu di Felda Besout 4, Felda Besout 3 dan Trolak Selatan.

Kompleks Silveritage Galleria dibangunkan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) khusus untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk-produk keluaran mereka.

Dalam pada itu, Saripah menambah, pihak Baiduri masih dalam proses perbincangan bagi memilih produk-produk PDK yang sesuai dan layak untuk dipasarkan di kompleks berkenaan.