PUTRAJAYA: Pasport milik ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low sudah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada malam 15 Jun lalu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima permintaan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada hari raya Aidilfitri pertama yang lalu berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pembatalan itu adalah mengikut peruntukan di bawah akta imigresen untuk menghalang pergerakan Jho Low selepas beliau dikehendaki hadir di Malaysia untuk disoal oleh pihak berkuasa,” katanya pada Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

Dalam perkembangan lain berhubung penyerahan dua pasport milik Datuk Seri Najib Razak seperti yang diperintahkan mahkamah tinggi, Mustafar berkata perkara itu tiada kena mengena dengan Jabatan Imigresen.

“Apa yang penting, beliau (Najib) masih dalam senarai hitam larangan ke luar negara.

“Ada pasport atau tidak, beliau tetap tidak boleh keluar dari Malaysia,” katanya – berita harian