BUKIT MERAH: Masa depan politik UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan malap jika berpecah dan gagal memperolehi majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya jangan berasa selesa, sebaliknya terus bekerja kuat dan bijaksana untuk mendekati pengundi.

Menurut beliau, walaupun mempunyai gerak kerja yang baik seperti jaringan, pengkalan data pengundi dan pusat panggilan, ia hanya di atas kertas.

Katanya, apa yang paling penting ialah memastikan pengundi BN turun beramai-ramai pada mengundi untuk memastikan kemenangan parti pada PRU14.

“Apa makna kita bekerja sepanjang empat tahun, lima tahun tetapi di saat akhir kita lemah longlai,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

umno-larut 2

Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor.

Ahmad Zahid berkata, UMNO / BN telah diuji pada PRU12 dan PRU13 dan akan uji sekali lagi pada PRU14 yang akan diadakan tahun ini atau tahun depan.

“Jika berpecah dan gagal untuk mendapatkan dua pertiga, itulah penghujung sejarah politik kita.

“Allah uji kita dengan menghantar tokoh yang tidak mengenang budi kepada UMNO (dengan) bekerjasama dengan musuh dan menjadi musuh kita,” ujarnya.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan ahli parti itu untuk memastikan UMNO terus relevan di mata rakyat.

Beliau berkata, UMNO dan BN bukan parti bermusim sebaliknya sentiasa bekerja setiap waktu dan musim demi tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Dalam politik, jangan ada istilah penat, jangan komplen banyak kerja, jangan komplen tidak cukup rehat sebab ramai orang nak ambil alih tempat kita,” katanya.