KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan janji mereka di dalam mengekalkan pegangan tanah kepada
pemilik Kampung Bharu bukanlah satu janji palsu.

Ini kerana kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selalu memberi janji-janji palsu diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai sebuah kerajaan yang adil kepada pemilik-pemilik tanah Kampung Bharu.

Itu permintaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.

“Paling penting adalah memastikan hak anak Kampung Bharu terbela dan pemilikan tanah kekal pada mereka serta segala pembangunan memberi kepentingan kepada bangsa Melayu di Kampung Bharu.

“Oleh yang demikian, pertama sekali adalah untuk keseluruhan tanah Kampung Bharu seharusnya digazetkan menjadi tanah berkepentingan Melayu yang semestinya dijadikan polisi di dalam Kementerian Wilayah dan juga polisi khas dibawah Kanun
Tanah Negara yang memerlukan kelulusan daripada sidang Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Nizham, ia bagi memastikan kepentingan semua pemilik tanah Kampung Bharu dan generasi seterusnya
akan sentiasa menjadi sebahagian daripada pembangunan Kampung Bharu kini dan selamanya.

Kedua, katanya, adalah perlu untuk kerajaan memastikan Kawasan-kawasan tradisi, termasuklah rumah-rumah warisan dan tradisi dipelihara dan dipulihara setara dengan pemeliharaan bangunan-bangunan Kolonial di Melaka dan Pulau Pinang.

Ia mesti digazetkan sebagai bangunan-bangunan dan kawasan-kawasan yang dilindungi oleh undang-undang dan polisi-polisi pemeliharaan bangunan tradisi. Persoalannya, adakah kerajaan mempertimbangkan kedua-dua perkara ini sekiranya tidak, adakah kerajaan akan mengambilkira faktor-faktor ini di dalam keseluruhan pelan pembangunan?” soalnya.

Adalah perlu untuk kerajaan memberi jaminan bagi kedua-dua perkara itu akan dilaksanakan di dalam memastikan ekuiti milikan tanah yang seimbang di dalam Kampung Bharu, katanya.

Ini amat penting di dalam memastikan keseimbangan komposisi bangsa di dalam Bandaraya Kuala Lumpur tidak terganggu dek mengejar pembangunan.

“Ketiga dan yang terakhir adalah memastikan pembangunan Kampung Baru dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhan. Kampung Bharu bukan sahaja milik anak Kampung Bharu tetapi ia juga milik rakyat yang mana Kampung Bharu pada masa kini menjadi tumpuan peminat makanan dan juga daya tarikan pelancong-pelancong asing.

“Pesanan saya kepada anakanak Kampung Bharu, wang ringgit tidak akan kekal. Ia sekadar memberikan kegembiraan
sementara semata-mata. Tanah itu milik anda dan ia harus kekal menjadi milik anda.

“Buat kerajaan, selain daripada ketiga-tiga cadangan tadi, adalah perlu untuk kerajaan benar-benar menunjukkan keikhlasan di dalam membawa pembangunan dan kemajuan kepada Kampung Bharu, pelaburan yang dibawa masuk perlu berkongsi aspirasi yang sama,” ujarnya.

Jangan kerana mengejar pembangunan, warisan dan sejarah kita terhakis, hilang ditelan zaman, kata Mohamed Nizham.

– MalaysiaGazette