SERI MANJUNG: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak mahu sistem pengasingan bekas minuman orang Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah di Selangor berlaku di negeri ini.

Beliau menegaskan, apa yang berlaku di Selangor itu adalah sesuatu yang tidak wajar dan amat mendukacitakan.

Sehubungan itu, beliau menyokong kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menempelak sistem yang diamalkan di sekolah berkenaan.

cawan-asing“Saya rasa amat mendukacitakan apabila ada sistem seumpama itu kerana merupakan sesuatu benda yang tidak baik, Islam tidak mengajar begitu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Projek Perumahan Awan 1 Malaysia (PPA1M) di Kg Dato’ Seri Kamarudin di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas tindakan sebuah sekolah di Hulu Langat yang dikatakan boleh mencetuskan satu lagi kontroversi melibatkan layanan terhadap murid-murid bukan Islam di sekolah kerajaan.

Sekolah Kebangsaan Taman Puteri di Hulu Langat didapati meletakkab cawan bersebelahan sebuah mesin dispenser air minuman di blok sekolah diletak label “MURID ISLAM” dan “MURID BUKAN ISLAM”.

Dr Zambry berkata, adalah amat malang ia berlaku di Malaysia, sebuah negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama.

“Ia seolah-olah kita hendak menggambarkan Islam itu agama yang keras dan tidak ada toleransi, sedangkan Islam adalah agama untuk kesejahteraan semua,” ujarnya