MANILA : Pasukan keselamatan Filipina berjaya menyelamatkan seorang rakyat Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf empat bulan lalu bersama dua rakyat Indonesia di timur Sabah.

Pejabat tentera Barat Mindanao mendedahkan, mangsa dikenali sebagai Jari Abdullah, 24 yang diselamatkan dari satu pertempuran membabitkan pasukan marin dan Abu Sayyaf pada jam 4 pagi semalam di Pulau Simisa, selatan wilayah Sulu.

Ketua Pasukan Bertindak Bersama Sulu, Brigadier Jeneral Divino Rey Pabayo berkata, mangsa ditemui dalam keadaan cedera parah selepas ditembak militan berkenaan kerana cuba melarikan diri.

“Kami menemui mangsa terbaring di laluan yang digunakan penculiknya untuk melarikan diri dan beliau diterbangkan ke pekan Jolo sebelum dipindahkan ke hospital di bandar Zamboanga.

“Tindakan menembak mangsa ini mencerminkan sikap Abu Sayyaf yang terdesak kerana mereka sudah dikepung oleh pasukan kami,” kata Divino.

Jari yang dikatakan berada dalam keadaan kritikal bersama dua rakyat Indonesia lain diculik kumpulan militan itu ketika sedang menangkap ikan di perairan timur Sabah, berhampiran gugusan kepulauan Tawi Tawi milik Filipina pada 5 Disember tahun lalu.

Dua rakyat Indonesia terbabit, Heri Ardiansyah, 19 dan Hariadan, 45 tidak lama kemudian dilihat muncul dalam rakaman video, merayu supaya diselamatkan malah turut diacu pisau di bahagian leher oleh seorang anggota militan berkenaan.

Video itu muncul beberapa hari selepas isteri Jari, Nadin Junianti Abdullah menerima panggilan daripada Abu Sayyaf yang mendakwa tidak pernah dihubungi wakil kerajaan Malaysia untuk berunding mengenai pembebasan suaminya. – AGENSI