Melaka: Sepasukan anggota dari Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dihubungi bagi memusnahkan satu beg kertas yang dipercayai mengandungi bahan mencurigakan dalam kejadian di Balai Polis Ayer Keroh, di sini, semalam.

Beg itu dimusnahkan dengan menggunakan alat pemusnah kawalan jauh di kawasan lapang berhampiran balai polis terbabit, kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata siasatan awal mendapati beg kertas itu ditemui di mesin deposit wang (CDM) di sebuah bank di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), sebelum dibawa oleh pengurus bank kira-kira jam 12.05 tengah hari.

Beliau berkata, pengurus bank yang curiga dengan kandungan di dalam beg kertas itu kemudian membawanya ke balai polis.

“Difahamkan, beg kertas itu ditinggalkan sejak dua hari lalu oleh individu tidak dikenali.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia ditinggalkan seorang wanita sebelum dia bergegas keluar,” katanya.

Afzanizar berkata, tindakan memusnahkan beg kertas yang mengandungi bungkusan plastik di dalamnya itu dilakukan kerana objek terbabit dicurigai pihak berkuasa berkenaan selain kandungannya yang berat.

“Selepas dimusnahkan, kita dapati kandungan di dalamnya mengandungi kira-kira 300 keping kertas (borang) tandatangan pelanggan bank yang masih kosong,” katanya.

“Polis akan melakukan siasatan dan motif sebenar perbuatan wanita itu,” katanya – hmetro