TASEK GELUGOR: Pasukan khas bantuan pasca banjir kerajaan negeri Perak yang diketuai oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, turun padang memberi pertolongan kepada ratusan mangsa banjir Pulau Pinang pada Jumaat.

Misi bantuan bagi membersihkan rumah-rumah mangsa banjir itu turut disertai oleh lebih 800 orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi negeri serta ahli badan bukan kerajaan (NGO).

507305e7-5ede-4bd2-ac34-3adee9e2a6dbKetika ditemui pemberita, Dr Zambry berkata, misi bantuan itu merupakan usaha kerajaan negeri Perak dalam berkongsi bebanan yang ditanggung oleh rakyat Pulau Pinang yang ditimpa bencana terburuk di negeri itu, baru-baru ini.

“Ini bukan soal politik atau sebagainya tetapi ia di atas nama keperihatinan kita sebagai rakyat Malaysia, kita mahu berkongsi bebanan mereka supaya ianya dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Misi bantuan ini memberi fokus kepada kawasan Permatang Berangan dan Sungai Dua yang merupakan antara kawasan paling teruk terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Dr Zambry menambah, pihaknya juga tidak menyangka misi bantuan itu mendapat sambutan dan kerjasama yang cukup memberangsangkan dari rakyat negeri Perak.

8c256d0d-bafb-4f1b-982e-4b86e304ea3a

“Kita menjangkakan pasukan yang dihantar dari negeri kita adalah sekitar 300 orang sahaja namun pada saat-saat akhir, pelbagai pihak telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai bantuan ini.

“Alhamdulillah, kesemua sukarelawan dari Perak telah dibahagikan dalam beberapa kumpulan untuk masuk ke 12 buah kampung dan memberi pertolongan kepada mangsa-mangsa yang memerlukan,” ujar beliau.

Misi bantuan itu juga turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dan barisan exco kerajaan negeri.

Dr Zambry meluangkan masa hampir empat jam bersama-sama pasukan tersebut melakukan kerja-kerja pembersihan rumah dan pengagihan sumbangan kepada mangsa banjir.

ddb378ab-7aba-4c5a-9e61-f185e753b0b7Seramai 228 keluarga dari 12 buah kampung telah dibantu dalam misi berkenaan yang bermula dari jam 8.30 pagi sehingga lewat petang.

Kelmarin, Dr Zambry mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 telah diluluskan oleh kerajaan negeri Perak sebagai usaha untuk membantu pengurusan pasca banjir di Pulau Pinang.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk membeli peralatan mencuci dan sebagainya bagi membantu mangsa-mangsa banjir.