IPOH: Unit Pasukan Penyelam dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita, V. Salini, 24, yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Pinji pada Isnin.

Kedua-dua unit itu memulakan operasi pagi Selasa dengan dibantu anggota polis, Rela dan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihak polis menerima maklumat awam sekitar jam 6.30 petang mengenai kejadian itu sebelum menghantar anggota untuk menyiasat.

“Apa yang kita dimaklumkan oleh saksi awam, mereka terlihat seorang perempuan terjatuh dari motosikal ke dalam sungai yang berdekatan dan kita telah meminta bantuan dengan pihak bomba, Rela dan beberapa agensi lain untuk hadir ke tempat ini untuk melakukan SAR.

“Sejak petang semalam hingga ke tengah malam tadi, pihak bomba telah menyelusuri sepanjang sungai ini tapi kita masih belum berhasil lagi,” katanya pada sidang media ketika melawat lokasi kejadian pada Selasa.

Hadir sama Exco kerajaan negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Komander operasi bomba, Mohamad Fadzeli Husin pula berkata, radius pencarian mereka ialah sepanjang kira-kira 4.4 kilometer Sungai Pari daripada tempat kejadian sehingga ke Sungai Kinta.

“Konsep yang kita buat pencarian sekarang ini, dengan bantuan daripada Unit Pasukan Penyelam dan Unit K9, ialah kita akan konsep kita body surving iaitu mencari fizikal sekiranya mangsa tersangkut pada lengkok-lengkok sungai,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sepanjang pengetahuannya, kejadian terjatuh daripada jambatan berkenaan yang sedang dalam proses baik pulih aadalah yang pertama kali berlaku.

“Setakat ini tak ada komplen ataupun aduan rungutan pasal perkara itu, tapi apapun kalau sekiranya ia menjadi punca ataupun dikenalpasti kemudian menjadi punca, kita akan buat langkah yang sesuailah untuk mengelakkan supaya jangan perkara tu berulang kembali,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya lebih berhati ketika melalui jambatan itu yang sedang dibaik pulih sejak lebih setahun lalu.