LUMUT:Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 (W1) Kampung Acheh, Sitiawan berjaya merampas mercun bola bernilai kira-kira RM60,000 yang disorok dalam sebuah stor ternakan ayam di Batu 10, Segari, dekat sini, hari ini.

Komander PPM W1 Batu Uban, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan itu dibuat kira-kira jam 9.45 pagi hasil maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, sebaik memperoleh maklumat, sepasukan pegawai serta anggota kemudiannya membuat intipan, namun mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan berlaku.

“Pemeriksaan kemudiannya dijalankan di sebuah rumah dalam ladang ternakan ayam itu dan menemui seorang lelaki berusia 46 tahun sebelum dia dibawa untuk sama-sama memeriksa sebuah stor di kawasan itu.

“Anggota kemudian menemui 40 kotak mengandungi bahan letupan disyaki mercun bola yang disembunyikan di dalam stor itu,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi PPM W1, di sini, hari ini.

Rosman berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM W1 untuk tindakan lanjut manakala kesemua mercun berkenaan turut dirampas.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1975 dan siasatan awal mendapati mercun berkenaan dibawa melalui jalan darat dari negara jiran untuk dijual sempena sambutan Aidilfitri ini.

“Ini adalah rampasan terbesar dilakukan PPM untuk tahun ini,” katanya.