IPOH: Polis Perak telah menubuhkan sebuah pasukan siasatan untuk menyiasat mengikut peruntukan undang-undang berhubung penyebaran berunsur fitnah terhadap seorang ketua polis daerah dan isterinya di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya juga akan menjalankan siasatan tatatertib terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang disyaki terlibat dalam kes ini.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti individu sebenar yang telah memuat naik perkara tersebut berikutan satu laporan polis telah dibuat seorang wanita pada Sabtu lepas yang mendakwa profilnya telah digunakan untuk mengeluarkan keterangan yang berupa fitnah terhadap pegawai berkenaan dan isterinya.

“Berdasarkan laporan berkenaan, polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 serta Akta Jenayah Komputer 1997 kerana kesalahan enyalah guna talian dan menggodam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini Isnin.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya perkara itu tidak ditular kerana apa yang dinyatakan dalam media sosial belum jelas kesahihannya.

— BERNAMA