IPOH: Pasukan bola sepak YAB Menteri Besar berjaya menewaskan pasukan Media Prima TV3 dengan jaringan mata 5-2 dalam perlawanan persahabatan, hari ini.

Perlawanan itu yang berlangsung di Padang Sultan Abd Jalil di sini diadakan sempena Perlawanan Akhir Liga Perak Amanjaya 2017/2018 antara Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti (SRCC) Padang Rengas menentang SRCC Bagan Serai.

Pasukan YAB Menteri Besar dibarisi oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama-sama dalam perlawanan bola sepak yang turut disertai oleh beberapa Exco kerajaan negeri dan ketua jabatan. Anak kepada Dr Zambry turut mengambil bahagian dalam permainan persahabatan itu.

Kedua-dua pasukan menunjukkan permainan yang menarik dengan beberapa cubaan gol dari pasukan Media Prima TV3 ditangkap kemas oleh penjaga gol pasukan Menteri Besar.

Dr Zambry turut mencuba untuk menjaringkan beberapa gol bagi pasukan beliau.

Kira-kira 300 penduduk dan penyokong pasukan menyaksikan perlawanan itu.