ALOR GAJAH:Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan (DM5) mematahkan cubaan menyeludup 20,000 karton rokok bernilai RM800,000 di perairan pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, pagi Jumaat lalu.

 

Bagaimanapun, enam warga asing dari negara jiran yang menaiki bot gentian kaca berkenaan berjaya meloloskan diri ke kawasan persisiran pantai dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu.

Pengarah Maritim Malaysia DM5, Kepten Maritim Amran Daud, berkata sebelum rampasan sepasukan empat anggota Maritim Malaysia sedang menjalankan rutin operasi, sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan datang dari arah negara jiran disyaki membawa muatan rokok tidak sah.

Beliau berkata, anggotanya kemudian mengejar bot terbabit selama kira-kira 20 minit, sebelum bot itu merempuh bot anggota Maritim Malaysia.

“Susulan itu, anggota kita terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran.

“Bagaimanapun, tindakan agresif suspek mendesak anggota kita melepaskan 38 das tembakan ke arah enjin bot, sebelum keenam-enam mereka terjun ke laut dan berenang ke persisir pantai Pengkalan Balak lalu meloloskan diri,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Amran berkata, selepas menghampiri anggotanya mendapati sejumlah muatan kotak besar dibungkus dengan plastik hitam di dalam ruang bot gentian kaca terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 400 kotak besar mengandungi 20,000 karton rokok putih jenama Canyon, sebelum bot mempunyai empat enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda itu ditunda ke Jeti DM5 untuk siasatan.

“Hasil keseluruhan rampasan bernilai RM950,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kastam 1967,” katanya – berita harian