SERDANG: Berlari dan merempuh kenderaan pihak berkuasa. Itu tindakan seorang warga asing yang cuba melarikan diri ketika serbuan Operasi Cegah Jenayah dilakukan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa mengejar lelaki dipercayai warga Bangladesh itu membolehkan dia ditahan sebelum dibawa ke lokasi berkumpul di kawasan pasar borong berkenaan untuk pemeriksaan.

Meskipun rempuhan lelaki berkenaan pada kenderaan pihak berkuasa agak kuat, dia yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata dalam operasi bermula 6.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, seramai 101 warga asing diperiksa menerusi serbuan di dua lokasi iaitu Pasar Borong Selangor dan Pasar Pagi Seri Kembangan, di sini.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 101 warga asing di dua lokasi berkenaan. Daripada jumlah itu, 14 individu ditahan berusia lingkungan 20 hingga 50-an selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Selain anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, operasi itu turut disertai JIM Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membabitkan kekuatan seramai 65 pegawai dan anggota.

Ismadi berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah hotel bajet di Seri Kembangan, di sini, polis menahan seorang lelaki berusia 50-an selepas didapati positif dadah jenis syabu.

“Selain lelaki itu, pihaknya turut menahan lima pasangan yang didapati melakukan kesalahan khalwat dalam serbuan di empat hotel bajet yang diserbu dalam operasi itu.

“Semua pasangan yang ditahan berusia 21 hingga 33 tahun berkenaan diserahkan kepada pihak JAIS untuk tindakan lanjut,” katanya.