TAIPING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta peniaga mematuhi amalan perniagaan beretika ketika musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perkara itu penting kerana peniaga dan pengguna perlu terus bekerjasama memastikan ekonomi negara terus berkembang makmur.

“Kami mahu peniaga menjalankan perniagaan mereka secara jujur dan bersaing secara sihat. Kami tidak mahu pengguna berasa tertipu.

“Kami juga tidak mahu mereka (peniaga) mengambil kesempatan terhadap pengguna khususnya ketika musim perayaan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Awam Plaza Perbandaran Taiping sempena hari pertama Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

 

Katanya, pegawai KPDNKK dan Rakan KPDNKK sentiasa bersedia membantu memberikan bimbingan jika peniaga tidak memahami arahan kementerian itu.

“Bagi mereka yang tidak mahu mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan KPDNKK, kami terpaksa mengambil tindakan dan jika pengguna berasakan mereka tertipu, tolong laporkan kepada kami,” katanya.

KPDNKK baru-baru ini menyenaraikan 13 barang di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang berkuat kuasa selama 21 hari mulai hari ini hingga 21 Februari depan.

Barangan disenaraikan termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, gred telur ayam A, B dan C, kubis bulat yang diimport dari Indonesia serta China, tidak termasuk kubis Beijing, bawang putih dari China, bawal putih, udang besar dan daging babi.

Peniaga yang gagal mematuhi peraturan kawalan harga boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hamzah berkata, individu juga boleh dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 apabila disabitkan kesalahan.

Katanya, peniaga dan pengguna juga boleh menyemak harga di laman web kementerian menerusi www.kpdnkk.gov.my. Рberita harian