KUALA LUMPUR: Pihak yang mahu terbabit secara serius dalam perdagangan matawang maya atau kripto perlu merujuk kepada arahan dan peraturan ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia bagi memastikan pihak terbabit tidak melakukan tindakan atau terjebak dalam kegiatan melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan mekanisme matawang ditetapkan BNM.

Mengakui kegiatan dagangan matawang maya semakin berkembang dan menjadi trend dalam masyarakat, beliau meminta pengendali atau sesiapa yang terbabit dengannya berwaspada dengan kegiatan berkenaan.

Dari segi teknologi kewangan baharu, katanya, kalau dikatakan ‘bitcoin’ atau matawang kripto, ia sesuatu yang umum harus berwaspada kerana BNM yang mengendali dan mengurus semua teknologi kewangan baharu masih mengkaji secara mendalam pengendalian kripto.

“Tentu ada pelbagai pihak yang cuba memperkenal kaedah atau mekanisme mereka secara tersendiri.

“Saya ingin menasihatkan semua pihak, tidak kira dari mana yang ingin memperkenal teknologi baru ‘bitcoin’ atau matawang kripto dan sebagainya, untuk merujuk kepada BNM kerana ia adalah pihak berkuasa yang akan mengeluarkan kata putus mekanisme kewangan baharu ini.

“Jangan kita buat sesuatu yang mungkin ada masalah, namun pada masa sama, kita tidak mahu sebut kita menghalangnya. Kita terbuka tapi perlu tertakluk kepada peraturan sedia ada.

“Rujuklah kepada BNM. Saya selaku Menteri Kewangan pun akan rujuk BNM. Jangan buat sesuatu tanpa garis panduan, tanpa arahan BNM untuk mengelak melakukan sesuatu yang tidak betul dan salah di sisi undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datin Dr Tan Yee Kew (PH PKR-Wangsa Maju) sama ada kerajaan akan menubuhkan badan penguatkuasa khas bagi mengawal selia kegiatan kripto.

Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad, sebelum ini dilaporkan berkata, wujud usaha menjadikan Harapan Coin sebagai matawang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada masa depan.

Beliau berkata, cadangan berkenaan dikemukakan ketika pelancaran Harapan Coin pada Mei lalu.

Terdahulu, Guan Eng berkata, Global Financial Integrity (GFI) baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan 10 teratas aliran wang keluar secara haram dalam kalangan negara membangun bagi tempoh 2005 sehingga 2014, membabitkan nilai AS$444.6 bilion.

Katanya, penemuan GFI ke atas aliran wang haram dari Malaysia boleh memburukkan persepsi awam terhadap rasuah dalam negara.

“Punca utama aliran wang haram dari Malaysia adalah kerana lari membayar cukai pendapatan, cukai dan duti kastam, penyeludupan barang larangan, pengaliran keluar tunai secara haram dan penyalahgunaan subsidi barangan,” katanya.

Sehingga September lalu, katanya, sebanyak 62 kes aliran keluar wang haram disabitkan kesalahan, 30 pendakwaan masih dalam peringkat perbicaraan sementara 37 kes dalam penyiasatan.

Guan Eng berkata, sebanyak 15 perintah mahkamah sivil dikeluarkan untuk menghentikan kegiatan haram terhadap pesalah yang menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen – berita harian