IPOH: Polis Perak memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi pengharaman mercun dan bunga api.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, polis melarang mana-mana individu memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun dan bunga api, kecuali yang dibenarkan sahaja.

Menurutnya, mercun dan bunga api yang dibenarkan adalah jenis ‘pop-pop’ dan ‘happy boom’ seperti mana spesifikasi yang telah ditetapkan.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memiliki, menyimpan, menggunakan atau berniaga mercun dan bunga api tanpa kebenaran pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 74 hingga 78 Explosives Rules 1923.